Kerajaan Sarawak Ambil Tindakan Segera Membaiki Kerosakan Bangunan Pejabat Daerah Bau Supaya Dapat Beroperasi Semula

Kerajaan Sarawak akan mengambil tindakan segera dengan membaiki kerosakan bangunan Pejabat Daerah Bau yang rosak akibat angin ribut pada petang Rabu.

Perkara ini telah dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Jaul Samion semasa ditanya media selepas menghadiri Taklimat Kerosakan Pejabat Daerah Bau di Bau, pada Khamis.

“Kita mahu memastikan kejadian yang berlaku ini tidak menjejaskan keselamatan orang ramai yang berurusan di pejabat ini.

“Untuk itu, kita akan segera membaiki bangunan dan bahagian yang mengalami kerosakan akibat angin ribut.

“Dalam hal ini, kita juga mengambil perhatian dengan memberikan penekanan kepada keselamatan staf dan pekerja serta orang ramai yang berkunjung ke pejabat ini dalam membuat urusan harian,” katanya.

Pada Khamis, pihak kontraktor telah pun berjaya membaiki dan menyiapkan bumbung yang rosak dalam tempoh 24 jam terutama di bahagian yang mengalami kerosakan teruk.

Terdahulu, beliau yang baru sahaja diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang baharu telah bergegas ke Pejabat Daerah Bau selepas mengetahui kerosakan yang berlaku ke atas bangunan Pejabat Daerah Bau.

Datu Jaul turut memberitahu setakat ini tiada dokumen yang terjejas dan masih dapat digunakan selain mengurangkan operasi seketika bagi membolehkan keadaan kembali seperti biasa.

“Setakat ini dokumen-dokumen penting masih selamat dan ketika ini staf dan pegawai masih lagi berusaha membersihkan dokumen tersebut.

“Buat sementara waktu ini, kita juga akan mengurangkan operasi demi keselamatan pekerja dan orang ramai,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: