Kerajaan Persekutuan menidakkan hak kaum Bumiputera Sarawak

KUCHING: Ketiadaan peruntukkan bagi parameter survey dalam Bajet 2019 menunjukkan kerajaan
persekutuan telah menidakkan hak kaum Bumiputera mempercepatkan proses menuntut hak tanah mereka.

Ahli Parlimen Batang Sadong,Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, pada Bajet 2018 sejumlah RM 30 juta telah diperuntukkan untuk pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat Sarawak.

“Parameter survey bertujuan untuk membolehkan kaum Bumiputra, khasnya kaum Dayak, menuntut tanah Native Communal Reserve (NRC) yang mereka rasa menjadi hak mereka untuk disukat.

“Ada yang menyatakan itu tanggungjawab kerajaan negeri, kenyataan itu memang betul,”katanya ketika membahaskan Bajet 2019.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai rasa prihatin terhadap kaum Bumiputera, terutama sekali yang telah mengaut banyak hasil minyak dan gas dari bumi Sarawak.

“Di manakah rasa tanggungjawab atas semangat perjanjian yang ditandatangani bersama pada tahun 1963?,”ujarnya.

Menyentuh mengenai sekolah daif di Sarawak,katanya, pendidikan disenarai sebagai senarai bersama di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Menurut Menteri Muda Pendidikan dan Kajian Teknologi Sarawak, Dr. Annuar Rapaee, bilangan sekolah daif yang perlu diperbaiki dan dibina semula di Sarawak berjumlah 1020 dan bajet persekutuan untuk seluruh negara RM100 juta sahaja.

“Sedangkan Sarawak sahaja memperuntukkan RM81.7 juta untuk 116 buah sekolah daif. Bajet ini hanya untuk membaki, membina semula dan menaiktaraf sekolah-sekolah daif ini,”jelasnya.

Menurutnya lagi,baru-baru ini Menteri Ekonomi datang ke Sarawak dan menyatakan JKR akan mengambil alih sebanyak 116 projek sekolah daif Kementerian Pendidikan di Sarawak.

“Kalau peruntukkan nasional sejumlah RM100 juta sahaja untuk pendidikan, berapa daripada jumlah itu diperuntukan untuk Sarawak?

“Kalau tidak cukup duit, terima saja pinjaman RM1 bilion dari kerajaan Sarawak demi mengutamakan pendidikan anak-anak Sarawak,”katanya.

Katanya,untuk 116 buah sekolah pada tahun ini Sarawak sudah membelanjakan sejumlah RM415 juta untuk pembaikian sekolah-sekolah daif.

“Kalau kerajaan memberi keutamaan kepada pendidikan, sepatutnya kerajaan pusat teruskan sahaja Bajet 2018 yang telah diluluskan ialah RM1 bilion untuk sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak iaitu, masing- masingnya RM500 juta.

“Dengan RM100 juta bermakna ianya pengurangan sebanyak 80 peratus daripada jumlah yang telah diluluskan dan diperuntukkan,”tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: