Kempen Lawat Sarawak lancar iklan dalam pesawat AirAsia

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengorak langkah baharu dalam mempromosikan keindahan negeri Bumi Kenyalang dengan melancarkan kempen iklan di ruangan penyimpanan barang di lima kabin pesawat milik Air Asia Bhd (AirAsia).

Pelancaran iklan istimewa itu yang memaparkan gambar-gambar lokasi pelancongan menarik di Sarawak turut mendapat kerjasama daripada pihak AirAsia serta Laduni Service Sdn. Bhd.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya berharap usaha itu membawa nama Sarawak ke peringkat lebih tinggi sekali gus menarik ramai pelancong.

“Iklan berkenaan bukan sahaja sekadar mempromosi Sarawak malah turut berpeluang memaparkan keindahan negeri ini ke seluruh dunia menerusi pesawat AirAsia.

“Pesawat Airbus 320 itu bukan sahaja membawa jenama Sarawak ke lokasi tempatan malah turut terbang ke enam buah negara termasuklah di benua Asia dan Indo China bagi tempoh satu tahun,” katanya pada majlis pelancaran iklan baharu Kempen Melawat Sarawak di Kuching, pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi STB, Datuk Abdul wahab Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor dan Ahli Lembaga Pengarah Air Asia, Datuk Aziz Bakar.

Dalam pada itu, Sharzede menyifatkan kerjasama yang terjalin antara STB dan pihak swasta sebagai langkah terbaik dalam mempromosikan Sarawak kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Jelasnya, Sarawak mempunyai pelbagai tempat menarik untuk diteroka oleh pelancong dan pesawat AirAsia menjadi antara medium pengangkutan terbaik untuk memudahkan pergerakan mereka ke sana.

Kempen Lawat Sarawak dilancarkan pada Disember tahun lalu dengan menyasarkan kira-kira lima juta pelancong akan melawati negeri tersebut.

Sumber – Kosmo! Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: