Kelulusan pendaftaran GPS hari ini amat ditunggu-tunggu-Idris

KUCHING:Kelulusan pendaftaran Parti Gabungan Sarawak (GPS) hari ini sememangnya amat ditunggu-tunggu dan berita yang paling istimewa,kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato’ Idris Buang.

Menurutnya, parti PBB Sarawak dan rakan-rakan dalam GPS pimpinan Presiden, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg yang juga Ketua Menteri Sarawak pasti cukup gembira dan mengalu-alukan kelulusannya.

“Ahli-ahli serta penyokong-penyokong
kami tidak sabar lagi mahu satu identiti sendiri yang khusus hanya untuk gabungan parti-parti Sarawak yang benar-benar berkecuali dari apa jua ikatan parti dari luar Sarawak.

“Melalui wadah ‘All Sarawak GPS’ ini kita lebih fokus dalam perjuangan mengambalikan hak-hak Sarawak dan memperkasakan Sarawak dan rakyat berbilang kaum sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia (MA63),”katanya di sini hari ini.

Kelulusan pendaftaran GPS disahkan
Menteri Dalam Negeri,Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab soalan wakil rakyat Kapit (Datuk Alexander Nanta Linggi) merangkap Setiausaha Agung GPS mengenai status pendaftaran GPS sebentar tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Muara Tuang itu berkata, PBB bersama rakan-rakan GPS tidak akan membiarkan Parti Keadilan Rakyat(PKR) atau mana-mana parti dari Semenanjung Malaysia ‘menakluki’ politik negeri Sarawak demi mempertahankan hak-hak rakyat Sarawak dari diperlekehkan .

“Hanya parti tulen berasal dari negeri ini sahaja dapat memperjuangkan hak-hak dan kehendak rakyat Sarawak dengan sempurna.

“Lagipun untuk PKR atau mereka yang sewaktu dengannya dari parti-parti Semenanjung Malaysia berkampung di Sarawak hanya akan membawa budaya politik yang kurang elok seperti yang kita ketahui secara umum.Politik yang dicemari dengan budaya baling kerusi dan sebagainya pasti dikhuatiri akan berlaku,”katanya.

Katanya,PBB dan GPS bersama sokongan majoriti rakyat Sarawak pelbagai kaum akan memberi tentangan habis-habisan dan tetap membela Sarawak dari ancaman gerakan politik parti dari Semenanjung Malaysia seperti PKR dan Pakatan Harapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: