Kejayaan Sarawak Ungguli Empat Anugerah Emas Di Jepun Selari Dengan Kerangka Pelan Tindakan SCS 10-20 Transformation Journey

Kejayaan Sarawak dalam mengungguli empat Anugerah Emas di International Convention Quality Control Circle (ICQCC) di Jepun baru-baru ini amat bermakna kerana selari dengan genapnya 10 tahun Kerangka Pelan Tindakan SCS 10-20 Transformation Journey.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Jaul Samion berkata, kejayaan cemerlang itu membuktikan budaya kerja inovatif dan kreatif (KIK) dalam kalangan penjawat awam di negeri ini semakin berkembang menerusi komitmen berterusan semua pihak.

Menurut beliau, dengan adanya insiatif KIK di kalangan penjawat awam Sarawak, ia dapat mengurangkan kos pengurusan, meningkatkan kecekapan dan memudahkan proses kepada pengguna.

“Justeru, saya menyeru agar semua ketua jabatan memainkan peranan penting dalam menyemarakkan budaya kepekaan yang mementingkan inovasi dan kualiti dalam penyampaian perkhidmatan awam negeri ini,” katanya dalam sidang media di Kuching pada 1 Oktober 2019.

Konvensyen anjuran United Of Japanese Scientists And Engineers (JUSE) yang berlangsung pada 21 hingga 27 September lepas di Keio Hotel, Tokyo telah disertai oleh 16 buah negara dari Benua Asia, Eropah Dan Amerika serta melibatkan 370 kumpulan.

Pasukan Sarawak menerusi Kumpulan Inovatif Dan Kreatif Perkhidmatan Awam diketuai oleh Datu Jaul bersama empat kumpulan iaitu Kumpulan Do It 3 (Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak), Kumpulan The Hummer (Sarawak Timber Development Corporation (Stidc), Kumpulan Forcescap (Majlis Bandaraya Miri) dan Kumpulan Jagu (Majlis Daerah Sri Aman).

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan Negeri akan mengadakan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) 2019 pada 14 hingga 16 Oktober depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: