Kampung Digital Sarawak dijangka siap pertengahan tahun hadapan

Kampung Digital Sarawak bernilai RM27 juta yang dibina di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya, di sini, dijangka siap pertengahan tahun hadapan.

Ketua Unit Kampung Digital Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Hazwan Razak berkata pembinaan projek di bawah SMA dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (Tegas) itu telah bermula Januari lepas dan siap kira-kira 30 peratus setakat ini.

“Progres setakat ini 11 peratus lebih cepat dari jadual,” katanya kepada media selepas merasmikan penutupan program Penerokaan Robotik dan Drone Antarabangsa Borneo (DROBOTEX) 2019, di Kuching pada Ahad.

Hazwan berkata projek berkenaan dicadang antara lain sebagai platform bagi membantu golongan belia negeri ini memulakan perniagaan dan mempunyai kemudahan internet berkelajuan tinggi bagi mereka meneroka pasaran luar negara.

“Ketika ini Sarawak ada lima Hub Inovasi Digital Tegas bagi membantu belia tempatan memulakan perniagaan iaitu dua di Kuching dan satu masing-masing di Bintulu, Miri dan Sarikei. Kampung Digital Sarawak akan membantu belia dari hub terbabit yang sudah memulakan perniagaan untuk mula meneroka pasaran luar negara pula,” katanya.

Beliau berkata setakat ini seramai 1,500 usahawan muda di Sarawak sudah dibantu Hub Inovasi Digital Tegas memulakan perniagaan mereka.

www.bernama.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: