‘Jangan guna guru-guru untuk sebarkan agama di Sarawak’, Nancy Shukri kepada Maszlee

Beberapa pemimpin Sarawak beragama Islam turut mengkritik Menteri Pendidikan Maszlee Malik kerana menggunakan istilah “dakwah”, apabila menggesa guru-guru agama dari Semenanjung supaya terus berada di Sabah dan Sarawak.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata kenyataan Maszlee tidak sensitif dan menyinggung perasan, terutama terhadap orang bukan Islam.

“Selaku menteri pendidikan, beliau patut lebih sedar akan dasar dan kenyataan-kenyataannya kerana ia boleh menyebabkan ibu bapa takut menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan. Sekarang masanya menteri perkenalkan kanak-kanak dan guru-guru kepada nilai-nilai yang baik.

“Di Sarawak, ada perkahwinan antara keluarga berbeza agama tetapi mereka masih tinggal bersama ahli keluarga daripada kepercayaan lain-lain.

“Mereka hidup bahagia, mereka tahu bagaimanapun menyesuaikan diri. Jadi, Maszlee patut belajar cara hidup Sarawak jika ingin menjadi warga Malaysia sebenar.

“Jangan guna guru-guru untuk sebarkan agama di Sarawak. Sudah jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun kami mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan, kita juga perlu menghormati agama lain yang diamalkan di Malaysia,” katanya.

Nancy berkata kenyataan Maszlee membuktikan sesetengah menteri Pakatan Harapan (PH) tidak memahami Sarawak, walaupun mahu menawan negeri itu.

Berbanding pemimpin Sarawak, Nancy berkata mereka sentiasa berhati-hati apabila berurusan dengan orang daripada budaya dan kepercayaan berbeza dan mereka mempunyai tolak ansur yang lebih tinggi kerana budaya negeri itu mengalakkan hormat-menghormati.

Kenyataan Maszlee, juga membuktikan mengapa tindakan Sarawak betul apabila Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai penurunan kuasa.

“Pada ketika itu, saya, bersama-sama Datuk Seri Anifah Aman, merupakan pengerusi bersama jawatankuasa penurunan kuasa. Antara perkara yang ditimbulkan adalah 13 perkara pentadbiran.

“Ia termasuk meminta 90% guru-guru di Sarawak mesti rakyat Sarawak yang dipersetujui kerajaan persekutuan. Sebabnya hanya rakyat Sarawak faham Sarawak dengan baik,” katanya.

Awal hari ini, Maszlee berkata kenyataannya sudah disalah faham dan istilah “dakwah” yang beliau gunakan harus dilihat dalam konteks lebih besar, iaitu ia bukan mengenai Islamisasi atau menukar agama orang bukan Islam.

“Apabila saya katakan guru yang mengajar di Sabah dan Sarawak boleh jadikan sebagai medan dakwah, (ada pihak) menterjemahkan kepada usaha menukar agama selain memaksa orang masuk Islam. Ini kefahaman sempit mengenai dakwah,” katanya.

(Sumber: Free Malaysia Today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: