Jalil Ramli Ketua Jurulatih Sarawak Baharu?

Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bakal mengumumkan nama Ketua Jurulatih baru pasukan senior Liga Premier 2019 minggu hadapan.

Memetik laporan akhbar Utusan Sarawak, Presiden FAS Dato Posa Majais berkata calon untuk jawatan tersebut sudah ada cuma menunggu masa sesuai untuk diumumkan sahaja.

Ketua Jurulatih musim lepas, Ian Gillan bagaimanapun dijangka tidak akan dikekalkan berikutan dengan prestasi buruk pasukan apabila hanya berjaya berada di kedudukan ke lapan LP2018.

Daripada nama-nama yang disebut, Ketua Jurulatih yang akan diumumkan nanti pastinya anak jati Sarawak sendiri.

Jalil Ramli terkenal dengan lontaran jauh beliau ketika bersama pasukan Sarawak dalam era 80s

Antara nama yang disebut-sebut semenjak barisan kepimpinan baru FAS dibentuk ialah Abdul Jalil Ramli.

Terkenal dengan lontaran jauhnya suatu ketika dahulu, Jalil juga merupakan calon paling popular untuk mengisi jawatan berkenaan.

Kerap berkelana dari Bintulu ke Kuala Lumpur sebagai pengulas sukan di Astro Arena, Jalil, 53 tahun pernah memegang jawatan tersebut dari tahun 1999 sehingga 2003 dan dari tahun 2005-2006.

Ditambah dengan pelantikan seorang jutawan sebagai Timbalan Presiden FAS yang baharu berasal dari Bintulu, dikhabarkan Dato’ Pengiran Daud Pengiran Putera sudah mula bertanyakan perihal Jalil dengan beberapa ahli gabungan FAS selesai mesyuarat agung persatuan di Limbang bulan lepas.

Mungkinkah Jalil bakal kembali ke kancah bolasepak Sarawak demi mengembalikan kegemilangan Bujang Senang sekali lagi?

#sayangsarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: