Isu hutang Sarawak kepada Persekutuan – Lina Soo bidas Guan Eng, kerajaan Sarawak maklumkan tiada tunggakan pembayaran

Foto FMT

Presiden Parti Reformasi Negeri, Lina Soo membidas menteri kewangan Lim Guan Eng yang menyatakan kerajaan Sarawak masih berhutang lebih RM2.5 bilion dengan kerajaan persekutuan dan tunggakan RM50 juta.

Lina pada Isnin berkata Lim sepatutnya mengikut prosedur apabila meminta kerajaan Sarawak membayar balik hutang kepada kerajaan persekutuan dan bukannya mengeluarkan kenyataan media.

“Ini adalah keterlaluan kerana Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Karim Rahman Hamzah hanya meminta hasil cukai pelancongan dari Sarawak seperti yang dijanjikan oleh kerajaan persekutuan,” kata Soo seperti dilapor The Malay Mail.

Lim pada Ahad menempelak kenyataan Abdul Karim yang mendakwa kerajaan Persekutuan berhutang RM2.7 juta kepada Sarawak dalam bentuk hasil cukai tersebut.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan, Lim mempersoalkan kembali situasi kewangan Sarawak.

“Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang lebih daripada RM2.5 bilion kepada kerajaan Persekutuan dengan tunggakan hutang hampir RM50 juta.

“Memandangkan negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutang kepada kerajaan Persekutuan?” soalnya.

Soo, bagaimanapun membidas Lim dan mendakwa tindakan itu hanya menunjukkan keangkuhan menteri persekutuan.

Beliau mengingatkan sebahagian besar hasil minyak dan gas dari Sarawak dan Sabah telah digunakan untuk membiayai projek infrastruktur mega di semenanjung Malaysia.

Menurut The Malay Mail, Soo juga mengingatkan Lim mengenai janji pilihan raya Pakatan Harapan untuk menyerahkan 20 peratus royalti minyak dan 50 peratus hasil cukai dikembalikan ke Sarawak.

“Orang Sarawak telah ditipu oleh janji-janji palsu,” katanya yang menuntut Lim meminta maaf kepada rakyat Sarawak kerana memungkiri janji pilihan raya.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) melaporkan kerajaan Sarawak menjelaskan setiap tahun peruntukan mencukupi disediakan dalam belanjawan tahunannya bagi membayar balik pinjaman kerajaan persekutuan, yang berjumlah RM2.38 bilion setakat 31 Dis, 2018.

Kerajaan Sarawak berkata pinjaman kerajaan persekutuan dibayar tepat pada masanya berdasarkan jadual bayaran balik seperti ditetapkan dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan persekutuan.

“Malah, Sarawak ialah antara negeri yang tidak mempunyai hutang belum bayar/tunggakan bagi bayaran balik pinjaman. Ini telah dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya dan dibentangkan pada Majlis Kewangan Negara,” kata kerajaan negeri dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri.

Katanya bagi kes Sarawak, pinjaman persekutuan diperoleh untuk membiayai pelaksanaan pelbagai projek di bawah Senarai Bersama, termasuk bekalan air, pembetungan, kawasan perindustrian, perumahan dan pertanian terutamanya perladangan kelapa sawit yang melibatkan pekebun kecil.

“Ia merupakan prosedur biasa yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi negeri-negeri di Malaysia untuk mendapatkan pembiayaan persekutuan sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman.

“Bentuk pembiayaan, sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman, akan berdasarkan pada jenis projek, iaitu, sama ada projek akan menjana perolehan di masa depan (nilai komersial),” menurut kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: