Hasil mesyuarat MA63 akan dimaklum kepada umum pada Januari

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka akan mengumumkan hasil rundingan mesyuarat pertama berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 3 Januari depan.

Menurutnya, butiran isu berkenaan akan diumum selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Perundingan DUN Sarawak pada hari sama.

“Ada pengumuman. The details I will disclose on the third (Januari) after the meeting,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas hasil perbincangan mengenai MA63 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 baru-baru ini.

Menurutnya, perbincangan berjalan lancar, malah pihaknya telah mengemukakan peruntukan dari sudut negeri Sarawak.

“Ia adalah mesyuarat yang baik dan kita telah mengemukakan pandangan dari sudut negeri Sarawak mengenai perkara-perkara yang boleh dibincang dan perkara yang tidak boleh dibincang kerana sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan memanggil mesyuarat pada 3 Januari untuk memaklumkan kepada Jawatankuasa Perundingan DUN dan selepas itu saya akan beri butiran untuk makluman rakyat,” katanya.

Pada 17 Disember lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan jawatankuasa pemandu bagi menyemak semula MA63 yang julung kali diadakan, sebagai sebahagian usaha Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Sarawak dan Sabah di Malaysia.

Antara cadangan yang dibincangkan ialah mengembalikan hak autonomi kerajaan Sabah dan Sarawak dalam perkara seperti kewangan, penerokaan minyak, perlombongan dan gas; perundangan, tanah dan hasil daripada tanah, maritim, penangkapan ikan muara dan perikanan, pekerja dan perkhidmatan awam negeri.

Selain itu, jawatankuasa tersebut turut membincangkan pindaan terhadap Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk kembali kepada fasal sebelum 1976.

Jawatankuasa itu akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan berkaitan pelaksanaan hak dan autonomi Sabah serta Sarawak.

Ia sejajar peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan perkara terkandung dalam Bab III, Lampiran A dan B Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962.

SUMBER: Sarawak Voice

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: