GPS tak beri laluan mudah kepada PH

Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan, kini mereka mendambakan Sarawak.

Pilihan raya Sarawak perlu diadakan paling lambat pada tahun 2021, selepas kali terakhir pada tahun 2016.

Ketika itu PBB, PRS, PDP dan SUPP berada dalam BN, bermakna mereka memiliki kelebihan berbanding parti-parti pembangkang seperti DAP dan PKR.

Kini, empat parti pemerintah Sarawak membentuk Gabungan Parti Sarawak atau GPS.

Ada yang meragui keupayaan GPS untuk kekal berada di tampuk pemerintahan Sarawak.

Rakyat Sarawak masih yakin dengan GPS, menurut Awang Azman Awang Pawi, pensyarah Universiti Malaya seperti terpampang di muka depan akhbar Borneo Post tidak lama dulu.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak ialah 82. GPS menguasai 72 daripadanya, menerusi kemenangan bergaya BN pada 2016 di bawah pimpinan Allahyarham Tok Nan.

Tok Nan atau Pehin Sri Adenan Satem memiliki aura tersendiri sehinggakan kepemimpinnya masih amat dirasai rakyat Sarawak.

Sekarang, Sarawak seakan-akan sudah merasai bahang persaingan GPS dan PH.

Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah berkata GPS tidak akan memberi laluan mudah kepada PH untuk menawan Sarawak pada pilihan raya negeri.

Bernama melaporkan Fatimah yakin akan mendapat sokongan padu daripada rakyat negeri itu.

Laporan itu mengatakan GPS akan bekerja keras dan terus berjuang meyakinkan rakyat negeri ini bahawa hanya parti tempatan mampu memperjuangkan hak dan masa depan mereka.

“Kita ambil semangat ‘Agi Idup Agi Ngelaban’, pantang anak Sarawak dicabar, langkah mayat sebelum menyerah kalah. Ya, kita tidak akan memberi laluan mudah (kepada PH),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PH berazam menawan Sarawak pada PRN akan datang ketika melancarkan Bersatu Sarawak di Bintulu Sabtu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: