GPS selesaikan sendiri masalah rakyat

Gabungan Parti Sarawak (GPS) satu-satunya parti yang sentiasa memahami kehendak serta kemahuan rakyat khususnya rakyat di luar bandar atau pedalaman.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Haji Julaihi Haji Narawi berkata, ini kerana GPS diterajui sendiri oleh orang Sarawak dimana hanya orang Sarawak sahaja yang tahu serta faham situasi negeri itu selain segala peruntukkan dari segi pembangunan tidak perlu melalui rundingan konsesi daripada pihak lain.

Menurutnya lagi ini menjadi perbezaan yang sangat ketara daripada sebelum ini dimana Barisan Nasional (BN) negeri perlu memperoleh persetujuan daripada BN pusat iaitu di Semenanjung dalam usaha memperoleh peruntukkan.

“Pendek kata tidak terikat kerana kita lebih faham dengan keperluan rakyat Sarawak serta latar belakangnya. Kerana apabila kita faham kita lebih senang untuk menyelesaikan masalah.

“Selain itu, kita tidak perlu tunggu keputusan daripada peringkat konsesi di Kuala Lumpur atau di Putrajaya. Jadi ini beza yang sangat ketara.” ujarnya ketika di temu bual oleh wartawan TVSarawak.com di sini kelmarin.

Ketika diminta mengulas mengenai perubahan sosio ekonomi selepas GPS dilancarkan kelak, beliau yang juga Menteri Muda Jalan Pesisir berkata manfaat yang bakal diperoleh bukan hanya kepada penduduk pesisir malah rakyat pedalaman turut merasai manfaat dengan adanya pembangunan perhubungan jalan raya yang dijangka dapat meningkatkan lagi taraf sosio ekonomi rakyat.

“Kita sangat memahami dari segi perhubungan jalan raya adalah antara agenda utama kerajaan Sarawak sebab kita bukan hanya membuat perhubungan di pesisir pantai malah di kawasan pedalaman.

“Kita juga tahu bahawa jalan penghubung akan membuka kepada jalan utama di kawasan itu, sekaligus dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat dan ini juga akan menjadi harapan serta cita-cita rakyat di luar bandar.” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: