GPS, ‘penjaga’ Sarawak

Gabungan Parti Sarawak (GPS) terdiri daripada empat parti, merupakan pakatan yang membentuk kerajaan Sarawak pada masa ini.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar Barisan Nasional (BN) pada 12 Jun 2018.

Empat parti berkenaan seterusnya mengumumkan pembentukan GPS pada hari yang sama.

Langkah itu merupakan susulan kekalahan BN kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.

Pada pilihan raya itu, BN di Sarawak memperolehi kemenangan ke atas 19 kerusi Parlimen yang disumbangkan oleh PBB 13 kerusi, PRS (tiga), PDP (dua) dan SUPP (satu) daripada 31 kerusi.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak dipertandingkan ketika PRU 14 memandangkan negeri itu mengadakan pilihan raya negeri pada 2016. Sarawak ialah negeri tunggal di Malaysia yang mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan dengan pilihan raya parlimen.

Menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 17 Mei 2016, BN di Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi.

PBB yang merupakan parti komponen terbesar BN di Sarawak menang di kesemua 40 kerusi yang ditan­dinginya, begitu juga PRS yang mencatatkan kemenangan di kesemua 11 kerusi.

SUPP pula menang 7 daripada 13 kerusi manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (kini PDP) mencapai kejayaan di 3 daripada 5 kerusi.

Calon langsung BN menang di 11 daripada 13 kerusi.

Kemenangan besar pada pilihan raya negeri itu ialah ketika dipimpin Pehin Sri Adenan Satem yang lebih dikenali sebagai Tok Nan. Tok Nan meninggal dunia pada 11 Januari 2017. Allahyarham menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014.

Pemergian Tok Nan menyaksikan penggantinya, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg bagi menggalas tanggungjawab memimpin Bumi Kenyalang.

Abang Abdul Rahman Zohari terus merangka pelan demi kelangsungan pembangunan Sarawak.

Ekonomi Digital merupakan pandangan jauh beliau dalam merencanakan pembangunan ekonomi, namun dalam masa yang sama, tidak diabaikan pembangunan kemudahan infrastruktur di luar bandar.

Ketika mengumumkan penubuhan GPS, Abang Abdul Rahman Zohari berkata:

“Kami akan melindungi kepentingan semua rakyat Sarawak tanpa mengira saiz sesuatu komuniti dalam cara yang inklusif.

“Gabungan baru ini akan membolehkan kami fokus kepada kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963)”. (Petikan laporan berita BERNAMA, 12 Jun 2018, disiarkan Sinar Harian)

Ada juga wartawan yang menyoal Abang Abdul Rahman Zohari “adakah GPS akan membuka keahlian kepada parti yang mesra GPS, misalnya Parti Rakyat Bersatu (UPP)”.

Jawapannya, ia boleh dipertimbangkan. Keputusan adalah terletak dengan suara tiga daripada empat parti sedia ada dalam GPS.

“Jika dalam BN (dahulu) ia mesti dipersetujui sebulat suara oleh parti-parti komponen,” katanya. (Petikan laporan berita Borneo Post Online, 19 November 2018).

Ia merupakan komen pertama Abang Abdul Rahman Zohari selepas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan mengenai kelulusan permohonanan GPS agar didaftartan secara sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 19 November 2018 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur.

Sijil kelulusan GPS, khabarnya sudah diterima.

Tidak lama selepas diumumkan pembentukan GPS, diwujudkan pertandingan mencipta logo GPS. Bagaimana rupa logo berkenaan, masih rahsia dan belum didedahkan kepada umum.

Banyak orang berpendapat, bahawa logo amat penting untuk didedahkan kepada umum agar mudah untuk para pengundi mengenali GPS.

Pilihan Raya Negeri Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2021, lima tahun (sepenggal Dewan Undangan Negeri) selepas pilihan raya tahun 2016.

Selama ini, para pengundi sudah amat kenal dengan logo BN yang berbentuk ‘dacing’ berwarna putih, berlatarbelakangkan warna biru gelap.

“Simbol (logo parti) digunakan oleh parti-parti dalam kempen, dan dicetak pada kertas undi yakni, pengundi mesti memangkah untuk menandakan calon/ parti diundi.” (Petikan artikel Wikipedia, Electoral Symbol)

Jerayawara besar-besaran wajar dilaksanakan agar mereka mengenali logo GPS. Terutama di kalangan warga emas yang sudah biasa dengan logo ‘dacing’?

Persoalan orang ramai juga berkisar dengan “bila GPS akan dilancarkan?”. Lebih arif tentang pelaksanaannya ialah Abang Abdul Rahman Zohari.

GPS dikatakan berhadapan dengan pencabar yang ‘kuat’ pada pilihan raya negeri akan datang. Pasti, PH yang kini merupakan kerajaan di peringkat Persekutuan memiliki kelebihan dari aspek-aspek tertentu.

GPS sememangnya perlu berusaha lebih gigih dalam meyakinkan rakyat bahawa merekalah yang paling layak mentadbir Sarawak.

Semua parti dalam GPS adalah parti tempatan.

“Kita perlu melindungi diri kita dan kekal bersatu padu kerana hanya orang Sarawak saja dapat menjaga Sarawak.” (Abang Abdul Rahman Zohari, laporan Sarawak Voice, 12 Oktober 2018)

Isu yang amat rapat di hati rakyat Sarawak sehingga ketika ini ialah hak autonomi negeri seperti tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Di dalamnya turut terselit mengenai royalti minyak dan gas kepada kerajaan Sarawak. Sarawak menuntut agar ia dinaikkan kepada 20 peratus berbanding lima peratus setahun.

Mengenai hasil gas dan minyak dari bumi Sarawak, pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak, bertarikh 5 November 2018, Abang Abdul Rahman Zohari mencadangkan agar kerajaan Sarawak mengenakan cukai jualan terhadap produk petroleum yang dihasilkan di negeri itu.

Ia kemudian diluluskan Dewan Undangan Negeri Sarawak, lantas bakal menyaksikan ia dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.

Hasil baru bagi kerajaan Sarawak itu menurut Ketua Menteri, akan digunakan untuk membangunkan negeri.

“Hasil yang dijangkakan daripada cukai jualan ini berjumlah RM3.897 bilion dalam 2019.” (Abang Abdul Rahman Zohari, petikan berita Utusan Malaysia Online, 5 November 2018).

Komitmen GPS dalam merancakkan pembangunan di seluruh Sarawak juga dapat dilihat menerusi peruntukan belanjawan tahun 2019.

Sebanyak RM9.073 bilion atau 76 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan manakala RM2.841 bilion (24 peratus) bagi perbelanjaan mengurus pada tahun depan.

Ia merupakan belanjawan tertinggi pernah dicipta di Sarawak, dan merupakan tertinggi di kalangan negeri-negeri dalam Malaysia.

“Belanjawan Sarawak 2019 berpusat kepada keperluan rakyat bagi memastikan GPS terus relevan sebagai parti politik pilihan rakyat Sarawak, khususnya bumiputera Sarawak yang masih memerlukan pembangunan infrastruktur asas.” (Pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi. Petikan laporan berita Bernama, 5 November 2018).

Membuktikan komitmen serius membangunkan luar bandar, pada tahun 2019, kerajaan Sarawak menyediakan RM6.049 bilion atau 67 peratus daripada bajet untuk pembangunan.

Jumlah yang diperuntukkan itu jauh lebih tinggi berbanding RM2.982 billion pada 2017 dan RM3.062 billion pada 2018.

Apa yang harus dilakukan GPS sekarang ialah meyakinkan rakyat bahawa semua perancangan mereka untuk memajukan Sarawak akan berjaya dilaksana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: