GPS laksana dasar berpaksi rakyat Sarawak

Gabungan Parti Sarawak (GPS) mulai berada dalam radar politik  kira-kira sebulan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14. Tarikh 9 Mei menjadi titik  peralihan penting dalam politik Sarawak. Titik peralihan ini membawa daripada komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak kini keluar dari BN untuk membawa haluan sendiri.

Konsep perkongsian kuasa di antara Sarawak dengan BN berakhir apabila BN kalah teruk dalam pilihan raya. Ada yang menyifatkan  kesetiaan dalam politik tidak berlaku apabila langkah keluar mereka dari BN sedangkan BN memerlukan sokongan komponen ketika dalam tempoh yang sukar ini.

Namun komponen politik di Sarawak mempunyai logik politik mereka sendiri.  Tujuan mereka bergabung dengan menjadi komponen BN ialah untuk berkongsi kuasa.  Namun apabila tidak ada kuasa untuk dikongsikan selepas BN kalah, maka komponen BN Sarawak perlu keluar untuk membentuk gabungan mereka sendiri.

Maka, dengan gabungan sendiri ini mereka dapat membina entiti dan identiti baru walaupun terdapat kritikan bahawa ia umpama ular bersalin kulit.  Hanya kulit yang bertukar namun mempunyai kandungan isi yang sama.

Hakikatnya, sesuai dengan politik etnonasionalisme yang dibawa oleh gabungan baru ini sedang membawa politik GPS untuk melaksanakan dasar yang berpaksikan rakyat Sarawak.

Politik etnonasionalisme ialah politik menggunakan unsur-unsur etnik setempat, budaya politik setempat, kepentingan setempat dan  sentimen politik setempat untuk menarik perhatian pengundi.

Sejak pemerintahan Adenan Satem politik etnonasionalisme ini berkembang dengan pesat. Adenan  berjaya membawa rakyat Sarawak berfikir secara politik setempat dan bertindak berlandaskan sentimen dan isu setempat. Legasi  dan dasar populis ini diteruskan oleh Ketua Menteri Sarawak baharu, Abang Johari Tun Abang Haji Openg selepas mengambil alih kepimpinan negeri Sarawak.

Langkah drastik melalui pembentukan  GPS ini yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).  Pembentukan GPS ini telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 19 November tahun ini.

Kejutan Politik

Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini  mengulas mengenai kehadiran Bersatu di Sarawak yang memerlukan pendekatan berhati-hati supaya kehadiran mereka tidak akan menimbulkan masalah dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS)  terutama selepas mereka mengumumkan sebagai pro-PH sebelum ini.

Menurut Muhyiddin, “Kita sudah lancarkan Bersatu di Sarawak. Tapi kita kena hati-hati kerana situasi di Sarawak berbeza dengan Sabah dan Semenanjung Malaysia. Kita kena pastikan kemasukan (ahli) tidak menjadi masalah.”

“Gabungan Parti Sarawak kata mereka pro-PH… apa makna itu? Mereka telah buat keputusan berkaitan mengenai Petronas yang kita lihat kalau tidak hadapi dengan hati-hati, ia akan membawa kesan besar kepada operasi Petronas. Jadi itu yang kena runding,” katanya.

Kenyataan ini jelas bahawa kepimpinan Pakatan Harapan mengiktiraf dasar GPS yang mesra PH akan tetapi tetap kritikal dengan isu-isu hak-hak Sarawak, dasar pembangunan dan kuasa autonomi Sarawak sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Isu-isu  dijangka berterusan  dan akan dijadikan sebagai alat penting untuk memenangi hati rakyat Sarawak dan segala tuntutan ini dijangka dimasukkan dalam manifesto pilihan raya negeri akan datang.

Kegagalan memperoleh dan memulihkan hak yang dituntut tersebut akan dilihat bukanlah kegagalan GPS akan tetapi dilihat sebagai kegagalan kerajaan pusat  menunaikan tuntutan-tuntutan kepada rakyat Sarawak. Di sinilah GPS akan memainkan peranan dalam menawarkan perjuangan kepada rakyat Sarawak agar dapat berterusan menjadi penyemak dan imbang kepada pentadbiran Pakatan Harapan agar tidak melupakan hak dan kepentingan rakyat Sarawak.

Isu-isu inilah yang dekat di hati rakyat Sarawak. Maka sentimen inilah yang akan sentiasa dimainkan di benak minda rakyat Sarawak.

Malah, Presiden PRS, Tan Sri James Masing menganggap pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Bintulu  di Sarawak sebagai “matlamat politik untuk mengawal gas dan minyak Sarawak sepenuhnya”. Sentimen-sentimen inilah ditiupkan kepada rakyat Sarawak.

Yang penting, kerajaan negeri Sarawak mahu  rakyatnya lebih selesa dan gembira berada dalam Malaysia dan pada masa yang sama, Sarawak telah banyak menyumbang pertumbuhan ekonomi negara dan tabungan kerajaan persekutuan.

Justeru, GPS mahukan kerajaan persekutuan di bawah PH lebih memahami dan bertindak lebih telus  dalam pengagihan peruntukan dana dan kuasa kepada Sarawak. 

NOTA: Artikel ini disiarkan Sarawak Voice pada 30 Disember 2018

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: