GPS komited membangunkan Sarawak

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus komited memastikan pembangunan Sarawak berterusan dan mampu menjadi negeri yang berdaya maju di negara ini biarpun keadaan tidak menentu akibat pandemik Covid-19.

Menurut Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi bagi memastikan agenda itu berterusan, beliau berkata rakyat Sarawak harus yakin dengan segala strategi yang sedang dilaksanakan dan perancangan kerajaan pusat dan negeri kerana hanya pimpinan GPS mempunyai keupayaan untuk melaksanakan segala inisiatif itu.

“Di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri kita masih ada usaha yang harus dibuat supaya Sarawak terus meningkat lebih tinggi dan pesat,” katanya ketika berucap sewaktu merasmikan Dewan Masyarakat Kampung Senayang, Sebuyau, pada 21 Julai 2020.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.27 Sebuyau berkata pelbagai inisiatif diambil kerajaan dalam semua aspek termasuklah ekonomi, pembangunan infrastruktur, sosial, kebajikan, pendidikan, pertanian, agama dan juga transformasi politik.

“Kita lihat sendiri dari aspek pembangunan infrastruktur sendiri dimana banyak jalan kini dalam fasa pembinaan dan akan dibina khasnya di kawasan pesisir Sarawak dan semuanya akan terlaksana kerana kerajaan Sarawak mempunyai rekod pengurusan yang cekap dan telus,” kata beliau lagi.

Julaihi berkata rakyat Sarawak secara khususnya harus bersyukur kerana sentiasa berada di dalam keadaan cukup baik terutamanya daripada segi perpaduan tanpa mengira agama dan bangsa.

Beliau turut menggesa rakyat negeri ini agar menilai sendiri jasa dan pembangunan yang dilaksanakan pemimpin-pemimpin lepas dan terkini negeri, khususnya Ketua Menteri.

“Dalam masa kebelakangan ini, terlalu banyak agenda yang dimainkan oleh pihak pembangkang untuk menafikan segala usaha kerajaan untuk rakyat Sarawak sedangkan mereka sendiri gagal mentadbir akibat berebut pangkat dan kuasa sepanjang masa,” katanya.

Oleh itu, Julaihi berkata rakyat negeri ini mestilah lebih arif menilai mana yang baik dan buruk serta menolak hasutan pembangkang yang dilihat cuba memecahbelahkan perpaduan yang dibina sejak sekian lama.

“Kita berikan pertimbangan yang bijaksana, buat keputusan baik, berdasarkan sikap yang waras,” tambahnya lagi.

Turut hadir dalam majlis perasmian dewan yang siap dibina dengan kos (Program Transformasi Luar Bandar) RM300,000 tersebut ialah Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Sebuyau, Ajis Ahmad; Tuai Rumah Kampung Senayang, Tuah ak Medang dan beberapa pemimpin tempatan.

Dalam majlis yang sama Julaihi turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5000 untuk JKKK Kampung Senayang dan siapnya pembinaan jalan dalam kampung Senayang yang dibina dengan kos RM250,300.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: