GPS kini giat perkenalkan logo

Pada 9 Januari 2019, logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilancarkan.

Pelancaran bersejarah itu disempurnakan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg selaku pengerusi GPS.

Dahulu empat parti dalam GPS (PBB, PRS, PDP dan SUPP) bertanding pada pilihan raya menggunakan logo BN yang berbentuk ‘dacing’.

Orang kata penggundi berusia atau penyokong dah biasa dengan logo dacing. Nanti bila mengundi kelak, mereka keliru.

Jadi eloklah logo GPS diperkenalkan awal-awal kepada orang ramai.

Roadshow GPS bermula pada 11 Januari dari Limbang. Ia akan singgah di bandar-bandar di Sarawak, dan pada Ahad mereka berada di Sibu, kawasan tengah Sarawak.

Ketika berada di Sibu, mereka disambut naib presiden PBB Dr Annuar Rapa’ee di Dewan MUC.

Bernama melaporkan Annuar berkata anggota GPS mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan dari sekarang iaitu memperkenalkan logo parti itu di seluruh negeri ini.

Menurutnya, logo berbentuk huruf ‘S’ dengan abstrak burung Kenyalang itu akan digunakan pada pilihan raya negeri akan datang dan bukannya lambang dacing.

Empat parti politik Sarawak iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) membentuk GPS selepas keluar dari BN ekoran kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 Mei tahun lepas.

“Sampaikanlah kepada setiap penduduk Sarawak dan beritahu mereka bahawa lambang ini akan digunakan GPS pada Pilihan Raya Negeri akan datang. Ini adalah lambang anak Sarawak,” katanya.

Annuar, yang juga Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, menjelaskan bahawa keempat-empat parti itu keluar dari BN bagi menentukan sendiri nasib dan masa hadapan anak Sarawak.

Parti-parti di bawah GPS, katanya, diterajui pemimpin dari kalangan anak Sarawak yang dilihat sebagai gabungan mantap yang akan berjuang untuk mempertahankan hak-hak Sarawak.

Namun, ini tidak bermakna Sarawak mahu bergaduh atau tidak mahu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Parti Harapan, katanya.

Ketua Pemuda PRS, Datuk Snowdan Lawan yang turut hadir pada majlis itu berkata rombongan 70 anggota pemuda parti-parti GPS telah menjelajah seluruh negeri untuk memperkenalkan logo baru parti.

Jelajah itu akan tiba di Kuching pada 19 Januari 2019.

Pada tarikh tersebut juga GPS akan dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: