Fazzrudin anggap Loke biadap

Kenyataan Anthony Loke mengatakan kami rakyat Sarawak tidak sedar diri dan menyalahkan GPS di atas peruntukan yang kecil untuk Negeri Sarawak menggambarkan bahawa keputusan dan pendirian kerajaan pusat seolah-olah dilaksanakan dengan perasaan dendam kerana pernah menyokong BN.

Seluruh rakyat Sarawak amat kecewa dengan peruntukan yang begitu kecil sekali diperuntukkan untuk pembangunan Negeri Sarawak. Ini menunjukkan dengan jelas pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap Negeri Sarawak. Hasil bumi yang begitu banyak diambil dari Negeri Sarawak dan pembahagian yang tidak adil.

Sebelum ini Chong amat lantang bersuara berjanji akan memastikan 30% bajet dari pembangunan akan disalurkan ke Negeri Sarawak. Kalau di kira mengikut dakwaan Chong, kita hanya menerima 4.35 bilion dari 54.7 bilion untuk pembangunan. Saya ingin bertanya kepada Chong adakah ini berjumlah 30% seperti yang dilaung-laungkan oleh beliau sebelum ini? Laungan tersebut tiba-tiba hilang apabila pimpinan DAP pusat memberi amaran dan mengatakan rakyat Sarawak tidak sedar diri.

Chong adalah Ketua Pembangkang di Sarawak. Tapi nada kenyataan Anthony Loke yang juga dari DAP bertentangan dengan banyak kenyataan yang dibuat oleh Chong sebelum ini. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa kedudukan Chong yang mewakili PH Swk tidak “bertaring” dan hanya mengikut telunjuk tuan mereka di Semenanjung.

Saya ingin berpesan kepada Anthony Loke bahawa anda merupakan sebahagian dari kerajaan baharu. Jika anda ikhlas mahu mebangunkan Sarawak maka peratusan peruntukan yang disalurkan ke Negeri Sarawak haruslah memadai dan setara dengan hasil yang telah dikeluarkan dari isi perut bumi Sarawak.

Pemimpin seperti Anthony Loke ini bersikap berdendam, biadap dan meminggir Negeri Sarawak dan ia akan menguatkan lagi semangat rakyat Sarawak untuk memastikan hak Negeri Sarawak terbela dan tidak sama sekali dikawal oleh orang luar.

Kami Pemuda PBB menyokong penuh YAB Ketua Menteri Sarawak untuk memulakan langkah bagi memperjuangkan, memperkukuhkan dan membangunkan Negeri Sarawak daripada hasil dari bumi kita sendiri dengan apa jua cara sekalipun.

YB Fazzrudin Hj Abdul Rahman
ADUN N6 Tupong
Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Sarawak
(4 November 2018)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: