Chong berdolak dalih untuk tutup kegagalan PH Sarawak

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, seharusnya menjawab mengapa beliau dan pemimpin PH lain di Sarawak langsung tidak bersuara apabila banyak bajet dan projek yang sudah diluluskan untuk Sarawak ditarik balik selepas Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukannya berterusan cuba mengalih perhatian dan menutup kegagalan sendiri dengan menyalak mengenai projek sekolah daif.

Chong juga perlu menjawab mengapa tidak satu pun janji PH Sarawak dalam Manifesto PRU-14 ditunaikan sehingga kini, sedangkan beliau sendiri lantang menjanjikan 20 peratus royalti minyak dan 50 peratus daripada kutipan cukai di Sarawak jika PH berjaya menawan Putrajaya.

Isu sekolah daif sangat jelas sedang ditangani bersama apabila kerajaan sebelumnya sudah memperuntukkan bajet besar bagi tujuan itu dan walaupun bajet berkenaan tidak diteruskan oleh kerajaan sekarang, mekanisme bagi meneruskan projek membina dan membaikpulih sekolah daif sudah pun dipersetujui bersama oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ketika ini.

Sekurang-kurangnya Kerajaan Sarawak ikhlas dalam memperjuangkan supaya projek membina dan membaikpulih sekolah daif yang dirintis kerajaan sebelumnya diteruskan. Bukan hanya selepas PRU-14, malah sebelum itu lagi Kerajaan Persekutuan sudah memperuntukkan dana bagi tujuan itu.

Dimana pula keikhlasan Chong? Kalau ikhlas kenapa tidak tunaikan janji Manifesto PH Sarawak? Kalau ikhlas kenapa tidak memperjuangkan hak Sarawak apabila banyak projek untuk Sarawak tidak diteruskan?

Sekali lagi kita hendak mengingatkan Chong bahawa pendidikan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri. Antara mereka yang pernah menjadi Menteri Pendidikan sebelum ini termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad (1974-1978) ; Datuk Seri Anwar Ibrahim (1986-1991) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2009-2013 dan 2013-2015), yang kini semuanya bersama PH.

Justeru adalah jelas tindakan Chong yang berterusan menyalak mengenai isu sekolah daif yang kini sedang ditangani bersama oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan hanya bertujuan untuk menutup kegagalan PH Sarawak sendiri.

Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof
Ketua Whip GPS
Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya
(30 Ogos 2019)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: