Benarkah GPS dilancar Januari 2018?

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diumumkan pembentukan pada 12 Jun 2018, dikhabar bakal dilancar pada Januari 2018.

Sarawak Voice pada 17 Disember 2018 melaporkan:

“Kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu akan menghantar 600 wakilnya menghadiri Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Negeri dijangka berlangsung Januari 2019.”

Semasa pelancaran, dipercayai logo GPS akan didedahkan kepada umum.

Terdiri daripada PBB, PRS, PDP dan SUPP, kelulusan pendaftaran GPS diumumkan pada 19 November 2018 oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg merupakan Pengerusi GPS.

Ketika ini GPS menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak dan 19 daripada 31 kerusi Parlimen.

GPS ditubuhkan oleh empat parti keluar daripada Barisan Nasional (BN) setelah tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Azam GPS ialah untuk memperjuangkan hak autonomi Sarawak yang terhakis, dan paling penting ialah memajukan negeri itu, terutama memberi penekanan penyediaan infrastruktur di kawasan luar bandar.

Komitmen GPS dalam memajukan Sarawak dibuktikan menerusi Belanjawan Sarawak 2019 yang memperuntukkan RM11.91 bilion, satu jumlah yang besar sekali gus mencatatkan sejarah tertinggi di antara belanjawan negeri.

BH Online melaporkan pada 5 November (hari belanjawan dibentangkan), “Rakyat Sarawak akhirnya mampu menikmati pembangunan lebih agresif selepas era Barisan Nasional (BN) apabila kerajaan negeri memperuntukkan RM9.07 bilion, khusus untuk perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan Sarawak 2019.

“Keseluruhannya, sejumlah RM11.91 bilion bagi belanjawan negeri tahun depan, yang tertinggi dalam sejarah Sarawak, dengan RM2.84 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi.”

Peruntukan yang besar itu tidak lepas dari dipersoalkan para pengkritik.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan ia mencerminkan kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak apabila mewujudkan pendapatan baru bagi kerajaan.

Pendapatan baru itu datang daripada hasil kutipan Cukai Jualan Produk-produk Petroleum mulai Januari 2019.

Cukai lima peratus itu dijangka bakal memberi pendapatan RM3.9 bilion pada tahun depan.

Sarawak akan menghadapi Pilihan Raya Negeri paling lewat pada tahun 2021, cukup lima tahun (sepenggal) selepas mengadakannya kali terakhir pada 2016.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: