Belanjawan 2019 tidak banyak beri harapan kepada rakyat Sarawak

SANTUBONG: Peruntukan pembangunan sebanyak RM4,346 juta untuk Sarawak yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 dilihat agak mengecewakan dan tidak banyak memberi harapan kepada rakyat negeri ini.

Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi berkata, beliau menjangka lebih banyak peruntukan disalurkan kepada kita berbanding Bajet 2018.

Menurutnya, kerajaan persekutuan sepatutnya memahami proses untuk membangunkan sebuah negeri luas seperti Sarawak pastinya memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Saya merasakan Bajet 2019 sepatutnya lebih bagus daripada tahun-tahun sebelum, namun realitinya ia (Bajet 2019) tidak menampakkan harapan yang cerah kepada rakyat Sarawak.

“Kita memang kecewa, tetapi pada masa sama Sarawak berterima kasih kepada Persekutuan. Sepatutnya, mereka lebih faham tentang keperluan negeri terbesar dalam Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas merasmikan majlis Seminar Pengurusan Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Cemerlang Negeri Sarawak dan Majlis Semarak Budi Semerbak Kasih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau 2018 di sini, hari ini.

Pembentangan Bajet 2019 memperuntukan RM4,346 juta bagi Sarawak hanya meningkat RM10 juta berbanding Bajet 2018 berbanding RM5,009 juta yang diperuntukkan untuk Sabah.

Dalam pada itu, Julaihi berkata, beliau tidak pasti sama ada perkongsian kos sama rata pembinaan projek Jambatan Batang Lupar antara Sarawak dan Persekutuan ada diumumkan dalam Bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam.

“Selain projek Jambatan Batang Lupar, beberapa projek jambatan lain termasuk Jambatan Igan dan Rambungan yang diluluskan oleh Persekutuan sebelum ini, juga tidak disentuh dalam Bajet 2019,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu turut meminta kerajaan baharu supaya meneliti keperluan rakyat luar bandar negeri ini, termasuk pembinaan jambatan-jambatan yang penting bagi penduduk persisir pantai.

“Saya berharap peruntukan Bajet Sarawak yang bakal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada 5 November ini dapat memenuhi harapan dan citarasa rakyat yang masih memerlukan lebih banyak peruntukan melengkapkan keperluan infrastruktur Sarawak,” tambahnya.

 

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: