Bajet 2019: Sarawak berhak dapat peruntukan sama rata

Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berharap kajian rasionalisasi kos Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah dibuat tidak akan mengkompromi soal kualiti dan keselesaan pengguna dalam pelaksanaan projek berkenaan.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah dalam Bajet 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata tadbir urus yang telah ditetapkan dalam pelaksanaan projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah tersedia dan dipatuhi, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Projek Pan Borneo adalah “game changer” bagi rakyat di kedua-dua negeri berkenaan dan ia perlu diteruskan seperti dirancang demi kemudahan serta keselesaan rakyat,” katanya dalam kenyataan media mengenai Bajet 2019 yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Fadillah berpandangan bahawa Sarawak berhak mendapat peruntukan sama rata kalaupun tidak lebih berbanding Sabah, berikutan saiz negeri Sarawak yang jauh lebih luas, selain keperluan rakyat di Sarawak khususnya di luar bandar. Sabah menerima RM5,009 juta dalam Bajet 2019 berbanding RM4,133 juta pada 2018.

“Bagi projek pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan, kita berharap keutamaan akan diberikan kepada kawasan yang benar-benar memerlukan terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

Bagi projek membina semula dan membaikpulih sekolah daif, Menteri Kewangan dalam Bajet 2019 telah mengumumkan sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi pembinaan sekolah daif di seluruh negara. Kerajaan sebelumnya telah mengumumkan RM2.5 bilion untuk pulih sekolah daif bagi tempoh dua tahun iaitu 2018 dan 2019, yang mana RM500 juta bagi Semenanjung dan masing-masing RM1 bilion bagi Sabah dan Sarawak. Ini bermakna ada RM500 juta untuk Sarawak pada 2018 dan RM500 juta lagi pada 2019, begitu juga Sabah.
“Kita akan meminta penjelasan sama ada peruntukan RM500 juta untuk Sarawak 2019 itu masih ada atau tidak?,” katanya.

“Kita juga berterimakasih atas keprihatinan Kerajaan Pusat memberikan peruntukan RM4,346 juta kepada Sarawak dalam Bajet 2019 berbanding RM4,336 juta pada 2018,” katanya.

Bajet 2019 yang bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” juga menyaksikan peruntukan RM150 juta bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas terutama di Sabah dan Sarawak, dan kita amat berharap agar ia benar-benar memanfaatkan golongan sasaran di kedua-dua negeri itu.

(Jiwa Bakti)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: