Bajet 2019: Ahmad Johnie harap segerakan projek luar bandar

Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi menaruh harapan agar peruntukan sebanyak
RM4,346 juta kepada negeri Sarawak digunakan untuk pembangunan luar bandar demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, peruntukan yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding tahun lalu itu perlu digunakan untuk kesejahteraan rakyat yang sangat dahagakan kehidupan sejahtera.

Namun katanya, kehidupan itu harus dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air terawat, jalan raya dan sebagainya.

“Dengan janji kerajaan untuk memastikan pembangunan seimbang di seluruh negara yang memberi penekanan kemudahan asas, maka saya berharap agar peruntukan ini lebih banyak digunakan untuk pembangunan luar bandar,” katanya ketika diminta mengulas pembentangan Bajet Negara 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Ahmad Johnie, peruntukan itu juga wajar digunakan utk membina sekolah-sekolah baharu bagi menggantikan sekolah lama yang sangat daif di samping membaik pulih sekolah-sekolah daif.

Ini katanya, sejajar dengan hasrat dan janji Menteri Pendidikan yang melawat Sarawak baru-baru ini untuk memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah daif di seluruh negeri Sarawak.

Beliau berkata, untuk rekod sebanyak 1,020 daripada 1,454 sekolah di Sarawak dalam keadaan daif dan 415 dikategorikan sebagai tersangat daif.

Justeru, katanya adalah diharapkan pelaksanaan segala projek pembangunan yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan dapat disegerakan demi menaikkan taraf hidup rakyat di luar bandar.

Namun, beliau bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan bersetuju meneruskan projek Lebuh Raya Pan Borneo walaupun dalam keadaan merasionalisasi keadaan fiskal ekonomi negara.

Justeru, Ahli Parlimen Igan itu berjanji memantau segala projek yang telah dirancang Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan.

Ini sejajar dengan apa yang telah diperjuangkan oleh beliau di dalam setiap perbahasannya di dalam Parlimen selama ini.

Bajet 2019 bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera”.

(Jiwa Bakti)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: