Abg Joe pertahankan hak Sarawak kenakan cukai jualan produk petroleum depan Lim Guan Eng

KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata ketika Mesyuarat Jawatankuasa  Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 17 Disember 2018, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyampaikan pandangan bahawa cukai jualan yang dikenakan ke atas produk petroleum bermula 1 Jan 2019 adalah tidak wajar.

Tetapi Ketua Menteri menegaskan langkah mengenakan cukai 5 peratus itu adalah hak Sarawak seperti terkandung dalam Perlermbagaan Persekutuan, Perkara 95C dan Jadual Ke-10, lapor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), hari ini.

“Sarawak juga berpandangan bahawa ia hendaklah mengambil kira cukai petroleum (PITA) yang dikenakan oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam sidang media pada 3 Januari 2019 di Kuching, selepas mesyuarat jawatankuasa perundingan mengenai MA63.

Abang Johari berkata Sarawak sebenarnya boleh mengenakan peratus cukai yang lebih tinggi, misalnya 10 peratus tetapi kerajaan Sarawak turut mempertimbangkan suasana ekonomi semasa.

Lim Guan Eng katanya memberi sebab ketidak wajaran mengenakan cukai julan tersebut atas faktor ia akan menaikkan kos dan pelabur mungkin tidak mahu lagi melabur dalam industri minyak dan gas di Malaysia.

“Tetapi jawapan saya kepada beliau ialah hak mengenakan cukai dibenarkan di bawah perlembagaan tetapi jika ia tidak kompetitif maka kerajaan persekutuan boleh membuat perubahan ke atas struktur cukainya kerana pada masa ini kerajaan persekutuan turut menggenakan cukai pendapatan petroleum sebanyak 38 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari mencadangkan kerajaan persekutuan mengurangkan kadar cukai pendapatan petroleumnya sebanyak lima peratus menjadi 33 peratus sahaja.

“Kenapa harus kita (Sarawak) mengorbankan hak kita?” tanya beliau sambil berkata para anggota Jawatankuasa Khas itu turut bersetuju bahawa ia adalah hak negeri Sarawak.

Abang Johari turut berkata dalam mesyuarat 17 Disember 2018, perbincangan antara kerajaan Sarawak dengan Petronas mengenai isu petroleum akan diteruskan.

Berikut merupakan text sidang media oleh Ketua Menteri Sarawak yang diedarkan setelah mesyuarat pada hari ini (3 Januari 2019).

1. Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Khas untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 telah diadakan pada 17 Disember 2018 dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Dalam mesyuarat tersebut kerajaan Sarawak telah mengajukan perkara-perkara berikut.

2. Kerajaan Sarawak menetapkan beberapa perkara tertentu yang tidak terbuka untuk perbincangan. Perkara-perkara tersebut antaranya ialah:-

a) Kuasa Autonomi Imigresen;

b) Hak untuk menguatkuasakan Undang-undang Negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan;

c) Perlindungan sempadan negeri; dan

d) Kedaulatan atas dasar laut, bawah tanah dan hasil-hasilnya di dalam sempadan negeri.

3. Isu-isu yang perlu dibincangkan dalam Jawantankuasa Khas adalah seperti berikut:-

a) Keperluan Kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan;

b) Hak kepada sumber kewangan tambahan di bawah jadual kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

c) Kuasa baki perundangan (residual power) di bawah Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan;

d) Tanah negeri yang tidak diperlukan lagi oleh Kerajaan Persekutuan iaitu yang terletak di bawah Federal Land Commission, hendaklah dikembalikan semula kepada Sarawak: dan

e) Pelaksanaan kuasa Persekutuan berkaitan Pendidikan, Perubatan dan Kesihatan yang kurang memuaskan.

4. Setelah semua pembentangan dan perbincangan dibuat, Mesyuarat telah bersetuju bahawa:-

a) Kerajaan Sarawak menyokong atas cadangan pindaan perlembagaan dalam Perkara 1(2) mengenai tiga (3) wilayah dalam pembentukan Malaysia; 
b) isu-isu yang dibentangkan oleh Sarawak dan Sabah akan diperinci dan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam dua jawatankuasa yang turut ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja;

c) Penambahan ahli-ahli bagi Jawatankuasa Khas seperti yang dicadangkan oleh kedua-dua pihak Sabah dan Sarawak; dan

d) Kajian semula perkara-perkara khusus yang hanya melibatkan Sarawak dan Sabah tidak akan menjejaskan kedudukan negeri lain dalam hal kuasa negeri untuk menggubal undang-undang negeri, geran khas dan hasil pendapatan khas (Special Revenue) di bawah Perlembagaan Persekutuan.

5. Selain dari perkara-perkara yang dipersetujui di atas, YAB Pengerusi bersetuju dengan cadangan Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi supaya perbincangan mengenai isu berkenaan hal-hal petroleum diteruskan di antara kerajaan Sarawak dan PETRONAS.

6. Menteri Kewangan telah menyampaikan pandangan bahawa Sales Tax ke atas petroleum adalah tidak wajar. Sarawak menegaskan bahawa ini adalah hak Sarawak dan ianya dilaksanakan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 95C dan Jadual Kesepuluh. Sarawak juga berpandangan bahawa ia hendaklah mengambilkira cukai petroleum kerajaan Persekutuan (PITA) yang dikenakan oleh kerajaan Persekutuan.

PENUTUP

Jawatankuasa Kabinet Khas ini diberikan tempoh selama enam (6) bulan bagi mendapatkan laporan penuh dan jalan penyelesaian bagi isu-isu yang dikemukakan di dalam Jawatankuasa ini. Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja akan mula membincangkan perkara-perkara ini mulai Januari 2019 manakala mesyuarat seterusnya bagi Jawatankuasa Kabinet dijangka diadakan pada bulan Februari dan juga April 2019.

Jawatankuasa Perundingan bagi pihak Sarawak terdiri daripada:-

  1. Pengerusi, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar (Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak)
  2. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (PBB-GPS)
  3. Dato Sri Wong Soon Koh (UPP)
  4. YB Sharifah Hasidah (PBB-GPS)
  5. Datuk Gerawat Gala (PBB-GPS)
  6. atuk Snowdan Lawan (PRS-GPS)
  7. YB Abdullah Saidol (PBB-GPS)
  8. Datuk Sebastian Ting (SUPP-GPS)
  9. Datuk Idris Buang (PBB-GPS)
  10. Datuk Henry Jinep (PDP-GPS)
  11. YB See Chee How (PKR-PH)
  12. YB Irene May (DAP-PH)
  13. YB Chiew Chiu Sing (DAP-PH)
  14. YB Ali Biju (PKR-PH)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: