AADK bincang dengan NGO cari jalan perangi dadah

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara dalam mencari kata sepakat memerangi gejala penagihan dadah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkfili Abdullah berkata langkah itu diambil bagi memastikan matlamat aktiviti tidak sihat itu dikurangkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang, tercapai.

“Sebanyak 178 kawasan merah (aktif penagihan dadah) perlu diberikan tumpuan dan kita yakin dengan kerjasama daripada NGO yang ada, gejala itu akan dapat dikurangkan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara penutup Perbincangan Meja Bulat (RTD) Pencegahan dan Rawatan Dadah, Apa Solusi Baru? di Kota Bharu, hari ini.

Perbincangan meja bulat tersebut membabitkan 115 peserta daripada pelbagai aktivis NGO yang aktif di negeri ini.

Zulkifli berkata faktor utama berlakunya penagihan berulang disebabkan penerimaan negatif masyarakat, justeru beliau menyeru agar golongan majikan sudi menerima bekas penagih untuk diambil bekerja selepas mereka menjalani proses pemulihan.

Sementara itu, beliau berkata AADK akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam memastikan kemasukan bekalan dadah dapat dikawal.

“Sepertimana kita lihat, dadah ini selagi ada permintaan, selagi itulah ada penggunaan. Jadi kita akan berusaha agar pencegahan awal, dari sekolah dan keluarga dimulakan.

“Kita berharap dengan penerapan nilai dan aspek pendorong yang kuat daripada keluarga, mereka tidak akan mengambil dadah,” katanya.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: