Proton X70 dijual pada harga bermula RM99,800

Proton Holdings Bhd (PROTON) pada Rabu melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, Proton X70 yang ditawarkan pada harga bermula RM99,800.

Model yang dinanti-nantikan oleh pasaran automotif tempatan selepas mula diperkatakan sejak tahun lalu itu ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard 2WD yang dijual pada harga RM99,800; manakala Executive 2WD pula adalah RM109,800; Executive AWD dan Premium 2WD pula masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM115,800 dan RM123,800 seunit.

Proton X70 dikuasakan dengan enjin 1.8 liter pengecas turbo TGDI dengan enam kelajuan automatik, yang mampu menghambur kuasa 184 PS pada 5,500rpm dan tork 285Nm dari 1,700 – 4,400rpm.

Melengkapkan ciri premium, Proton X70 tampil dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) iaitu sistem penghubung pintar yang didatangkan dengan kad eSIM serta dimuatkan dengan lima aplikasi yang menawarkan perkhidmatan seperti radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara.

Ia diakses melalui skrin sentuh antara muka berasaskan Android bersaiz lapan inci yang dilengkapi ruang memori dalaman 32gb.

Malah, sistem itu juga mempunyai sambungan Wi-Fi, sekali gus membolehkan jentera itu dijadikan sebagai hotspot mudah alih.

Semua varian menerima ciri keselamatan termaju iaitu enam beg udara SRS, ISOFIX, , Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan daya brek elektronik (EBD), Bantuan Membrek (BA), Kawalan Brek Automatik, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Kawalan Cerun (HHA), Kawalan Menurun Curam (HDC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Proton X70 turut menerima pengiktirafan lima bintang ujian Program Penilaian Keselamatan Kereta baharu di Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Info:

Proton X70

* Standard 2WD (bermula RM99,800)
* Executive 2WD (bermula RM109,800)
* Executive AWD (bermula RM115,800)
* Premium 2WD (bermula RM123,800)
* Enjin 1.8 liter pengecas turbo TGDI
* 184 PS @ 5,500rpm dan tork 285Nm @ 1,700 – 4,400rpm
* Dilengkapi GKUI
* 6 beg udara SRS, ABS, EBD, BA, ESC, TCS, HHA, HDC & ESS
* 6 port USB

SUMBER: Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: