5,000 dijangka hadir sambutan Hari Wanita peringkat negeri Sarawak

Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak yang dijadual berlangsung pada 28 September ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dijangka dihadiri seramai 5,000 orang.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata mereka terdiri daripada kalangan wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), rakan-rakan strategik kementerian dan jabatan, pasukan beruniform, institusi pengajian tinggi dan para pelajar sekolah.

Beliau berkata pengunjung ke majlis itu akan dihidangkan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik termasuk pameran dan juga persembahan seni, selain dapat mengikuti majlis pelancaran buku yang bertajuk “Sarawak Women In Safety and Security: In Good Hands”.

Menurutnya majlis sambutan itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Juma’ani Tuanku Bujang.

“Enam anugerah akan disampaikan di majlis itu yakni Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Usahawan Wanita, Anugerah Kepimpinan Wanita, Anugerah Pencapaian khas dan Anugerah NGO Cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Bahagian Sarikei di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, Sarikei, pada 25 Ogos 2019.

Terdahulu Fatimah berkata hari wanita disambut sebagai plaform bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada golongan wanita terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negara disamping sebagai perangsang kepada golongan wanita untuk terus bergiat aktif ke arah pembangunan keluarga, masyarakat serta negara.

Katanya, pengiktirafan kepada para wanita di negeri ini dapat dilihat dengan adanya kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai keperluan oleh golongan wanita untuk bersama-sama memberi sumbangan kepada pembangunan keluarga dan masyarakat dalam pelbagai bentuk.

sumber – www.bernama.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: