SPRM papar senarai pengisytiharan harta anggota pentadbiran kerajaan, MP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaparkan senarai pengisytiharan harta anggota pentadbiran kerajaan termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anggota Parlimen di laman webnya.

Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta di https://mydeclaration.sprm.gov.my/, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencatatkan pendapatan tertinggi dalam kalangan mereka yang telah membuat pengisytiharan, dengan jumlah RM86,464.92, yang turut diisytihar dengan isterinya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail menduduki tangga kedua, mengisytiharkan dirinya serta isteri dengan jumlah pendapatan RM77,629.68.

Dr Mahathir yang membuat pengisytiharan bersama-sama isteri pula berada di kedudukan ketiga dengan jumlah pendapatan RM75,861.57.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang membuat pengisytiharan untuk diri dan suami pula mencatatkan jumlah pendapatan RM59,048.33, berada pada kedudukan ke-11.

Sehingga 6 petang hari ini, 38 anggota pentadbiran kerajaan telah mengisytiharkan harta manakala 14 lagi belum berbuat demikian.

Seramai 81 Anggota Parlimen pula sudah mengisytiharkan harta mereka manakala 44 lagi belum melakukannya.

Laman web tersebut turut menyebut, maklumat terperinci berkaitan dengan pemilikan harta akan dipaparkan apabila masalah teknikal diselesaikan.

Portal Pengisytiharan Harta yang dibangunkan SPRM itu disediakan untuk membolehkan perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan anggota parlimen kerajaan dipaparkan kepada masyarakat berdasarkan kepada keputusan kerajaan untuk membuktikan ketelusan kepimpinan kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: